Followers

Friday, February 25, 2011

~TAQWA~

MENUJU KETAQWAAN

Firman Allah swt:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.” (Al-Anfal:29)  

Firman Allah lagi:
“Wahai orang-orang yang beriman!  Bertakwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada Rasul-Nya (Muhammad) supaya Allah memberikan kepada kamu dua bahagian dan rahmat-Nya dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya serta diampunkan  dosa kamu dan ingatlah Allah amat Pengampun lagi amat Pengasihani.” (Al-Hadid: 28)

“Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan dan meninggalkan segala larangan) nescaya Allah mengadakan baginya jalan keluar (dari perkara yang menyusahkan) serta memberikannya rezeki dari jalan yang tidak disangkakannya.” (At-Talaq :2-3)

Renungi dan perhatikanlah dalam keseluruhan rangkaian ayat-ayat tadi, apakah yang kita dapati? Kita mendapati bahawa ketakwaan  kepada Allah Azzawajala adalah merupakan asas gelombang kekuatan, serta asas bagi nur (petunjuk) yang menyuluh dan asas pengorbanan. Dalam pada itu juga dengan ketakwaan kepada Allah swt sahajalah yang membolehkan seseorang mukmin membezakan antara yang hak dengan yang batil.

Sayyid Qutb dalam mentafsirkan firman Allah (Surah Al-Anfal:29) menyatakan:
 “Inilah dia bekalan iaitu bekalan persediaan dan kelengkapan di perjalanan. Bekalan ketakwaan yang menghidup, membangkit dan menyedarkan hati, membuahkan di dalamnya setinggi-tinggi kesedaran, kewaspadaan dan berhati-hati. Menyediakan baginya sinar cahaya petunjuk yang menyingkap segala rintangan ujian di liku-liku perjalanan yang sejauh mata memandang. Cahaya petunjuk ini merupakan cahaya yang tidak dikelami dengan sebarang syubhat (kesamaran) serta mendindingi pemikiran yang sempurna dan benar. Kemudiannya, ia adalah merupakan bekalan mengampun dan  memaafkan sebarang kesalahan, bekalan kedamaian yang mencurahkan ketenangan dan kegembiraan, cita-cita serta impian untuk memenuhi dan mencapai kurniaan Allah yang maha besar di ketika hari yang tiada di sana sebarang bekalan di ketika hari yang mana keseluruhan amalan adalah sia-sia, tidak mempunyai sebarang nilaian. Kesemuanya ini adalah merupakan kenyataan: Bahawa hanya ketakwaan kepada Allah sahajalah yang benar wujud dan menjelma di hati, satu petunjuk yang membezakan antara yang benar dan yang batil yang seterusnya menyingkapkan rintangan dan halangan di perjalanan. Begitu juga dengan hakikat-hakikat kepercayaan (akidah) ini tidak akan dirasai, difahami dan diketahui melainkan kepada mereka yang melaksanakan secara amali.”
 
Sesungguhnya kebenaran tidaklah mengasingkan dirinya dari fitrah. Tetapi hawa nafsulah yang mendindingi kebenaran dengan fitrah, hawa nafsulah yang menyebarkan kelam  kegelapan, mendindingi pendapat pemikiran menutupi jalan dan menyembunyikannya. Ianya tidak tertewas oleh hujah, tetapi ianya tertewas oleh ketakwaan. Tertewas oleh ketakutan kepada Allah dan muraqabah kepada-Nya ketika tersembunyi dan secara berterangan. Daripada ini nyatalah  bahawa Al-Furqanlah (Al-Quran) yang menyinari pandangan dan menghilangkan segala kesamaran serta membuka (menjelaskan)jalan. Ketakwaan adalah merupakan suatu hasil yang jitu, serta buah yang semulajadi bagi perasaan yang dilimpahi dengan keimanan yang mendalam, yang menghubungi dengan muraqabah (mendekatkan) kepada Allah ( Lahir satu perasaan ketakutan kepada-Nya, kegerunan dan kemurkaan dan seksaan-Nya, keinginan serta kesungguhan (ketamakan) kepada keampunan dan kurnia pahala-Nya.

Para sahabat begitu mengmbil berat tentang ketakwaan di mana mereka memastikan, bermujahadah untuk mencapainya dan sering bertanya mengenainya. Baginda Umar bin Al-Khattab pernah bertanyakan Ubai bin Kaab tentang  takwa. Ubai bertanya: “Pernahkah engkau berjalan di jalan yang berduri? Umar menjawab, “Bahkan!” Ubai bertanya: “Apa yang engkau lakukan apabila berjalan di jalan tersebut? Jawab Umar: “Aku berhati-hati dan berusaha (melepasi nya).” Lalu Ubai berkata: “Maka yang demikian itulah ketakwaan”.

Berasaskan kepada pengertian ketakwaan seperti yang dinyatakan oleh Ubai bin Kaab dalam jawapannya  terhadap soalan yang dikemukakan oleh baginda Umar, Sayyid Qutb Rahimahullah menyatakan di dalam tafsirnya, “Fi Zilalil Quran”: Yang demikian itulah ketakwaan, kehalusan rasa dalam tindakan, keheningan pada perasaan, ketakutan yang berterusan, kesentiasaan di dalam kewaspadaan dan pemeliharaan (diri)  dan ranjau-ranjau di jalan. Jalan kehidupan. Jalan yang sentiasa dirintangi oleh ranjau-ranjau keinginan hawa nafsu, ranjau-ranjau kehalobaan, kebanggaan serta yang menakutkan dan menggetarkan hati, ranjau-ranjau tipuan pengharapan bagi mereka yang tidak mempunyai pengharapan. Tiupan  ketakutan dari mereka yang tidak memberikan kemanfaatan serta kemudaratan dan puluhan macam ranjau-ranjau yang lain.

Cukuplah “takwa” dengan segala  kelebihan dan keberkesanannya. Sesungguhnya ia merupakan pemancar kelebihan (fadilah) kepada masyarakat seluruhnya. Satu-satunya  jalan untuk mengawal kerosakan, kejahatan dan dosa. Bahkan ia merupakan rukun yang paling asasi dalam pembentukan sesebuah keperibadian  di segi kejiwaan dan akhlaknya. Membolehkannya untuk menghadapi sebarang kesusahan dan kepayahan dalam kehidupan ini, serta membantunya untuk membezakan antara sebuah kehidupan yang baik dan yang buruk juga menyabarkannya ketika berhadapan dengan mihnah (ujian), tribulasi dan kesusahan kehidupan ini. Itulah hakikat ketakwaan yang kesannya begitu terasa dalam pentarbiyyahan sesebuah peribadi dan pembentukan sesebuah  masyarakat.

~dipetik dan diubah dari buku 'menuju kataqwaan' oleh Abu Nasih Ulwan~

No comments:

Post a Comment